Firman Allah:
"Ucapkanlah kata-kata yang baik terhadap manusia." (Al-Baqarah: 83)
Mengenai ungkapan atau perkataan yang baik ini ada peribahasa yang mengatakan:
"Diam adalah emas, berbicara adalah perak."
Maksud dari peribahasa tersebut, ucapan atau perkataan seseorang yang tidak berfaedah, dinilai laksana perak. Justeru itu, daripada berbicara yang tidak menentu, maka lebih baik baginya bersikap diam sahaja dan dengan demikian, harga diamnya itu laksana emas.
Mengingat sangat pentingnya perkara yang berkenaan dengan perkataan itu dalam mengatur hubungan antara sesama manusia, maka Islam sebagai satu-satunya agama yang sentiasa memperhatikan keselamatan bersama, memerintahkan supaya umat Islam memelihara lisannya.
Baik di dalam Al-Quran mahupun hadis, tidak sedikit terdapat petunjuk-petunjuk yang memberikan peringatan kepada kita supaya melafazkan perkataan yang baik, yang mendatangkan faedah dan keuntungan.
Firman Allah yang maksudnya:
"Berbicaralah terhadap mereka dengan perkataan yang baik." (An-Nisa': 5)
"Hai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar." (Al-Ahzab: 70)
Sesungguhnya perkataan-perkataan yang baik itu tidak terbatas terhadap teman dan sahabat sahaja, tetapi juga terhadap lawan dan orang-orang yang membangkang sekalipun.
Sebagai contoh, ketika berhadapan dengan Fir'aun, Allah s.w.t. memerintahkan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun supaya berbicara dengan baik kepadanya.
Sebagaimana firman Allah yang maksudnya:
"Berbicaralah kamu berdua (Musa dan Harun) kepadanya (Fir'aun) dengan kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat (sedar) dan takut." (Toha: 44)
Dalam hadis pula dinyatakan, betapa pentingnya fungsi lidah seseorang itu, dalam hubungannya dengan kemurnian iman.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak akan tegak lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya dan hati itu tidak akan dapat lurus, sebelum lidahnya jujur (terpelihara)." (HR. Ahmad)
Sabdanya lagi:
"Berbahagialah orang yang mengamalkan ilmunya, yang menafkahkan sebahagian harta bendanya dan yang dapat mengendalikan perkataan yang berlebihan." (HR. Thabrani)
Ulama'-ulama' serta pemimpin-pemimpin Islam dari zaman ke zaman, sentiasa memperlihatkan contoh supaya kita memelihara ucapan-ucapan dalam segala bidang kehidupan dan meninggalkan kata-kata mutiara yang berkenaan dengan perkara tersebut, untuk dapat dijadikan pedoman. Sebagaimana Saidina Ali Bin Abi Talib mengatakan:
"Lidah orang yang berakal terletak di belakang hatinya, hati orang yang bodoh terletak di belakang lidahnya."
Dalam kata mutiara yang lain pula ada disebutkan: "Kalau berjalan peliharalah kaki, kalau berkata peliharalah lidah."
Demikianlah bunyi dari kata-kata mutiara tersebut, walaupun kata-kata itu telah lama kita dengar, tetapi ia tetap berguna sepanjang masa.
Kalau dilihat sepintas lalu, apalah ertinya lidah, ia hanya sekadar daging kecil yang ada dalam mulut manusia yang sempurna. Sebab kalau tanpa lidah, seorang manusia itu akan kekurangan dan manusia yang tanpa lidah, bertukar nama menjadi manusia bisu atau manusia yang tidak dapat berbicara.
Dengan lidah pula orang dapat menikmati makanan yang lazat, oleh kerana itu, lidah adalah merupakan nikmat dari Allah s.w.t. yang sangat besar ertinya dalam kehidupan manusia. Lidahlah yang menciptakan segala bahasa. Lidahlah yang memberi suara semua fikiran dan cita. Lidahlah yang memberi keindahan terhadap lagu dan irama. Lidahlah yang dapat membuat hati yang rindu menjadi mesra dan lidah pulalah yang dapat memberikan nasihat sehingga yang bergelora menjadi tenang.
Sebaliknya lidah pulalah yang dapat membalikkan kata-kata, dari lidah pula keluarnya kata-kata berbisa dan dari lidah pula menyebabkan keluarnya sya'ir yang mengatakan: "Masih ada harapan sembuh kalau pedang menusuk tubuh, di mana ubat hendak dicari kalau lidah menusuk hati."
Oleh kerana itu, berhati-hatilah dengan lidah, sebab dengan lidah dapat menimbulkan bencana dan fitnah, lidah juga dapat membuat orang yang bersaudara menjadi porak peranda dan lidah pula yang dapat membuatkan orang yang bersatu menjadi pecah.
“Masinnya air laut tak mampu menyerap ke dalam isi ikan.. tapi bila ikan telah mati, secubit garam pun sudah cukup untuk memasinkannya.. Begitulah hati, hati yang hidup sangat sukar dinodai.. tapi bila hati telah mati, mudahnya dipengaruhi.” Moga Allah sentiasa pelihara hati kita.. hati yang dipilih ALLAH untuk mendapat hidayahNya sudah tentu hati yang menyesali akan dosa- dosanya.. for all sahabat, selamat berjuang! =) ''
Sunday, December 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
:)]
ReplyDelete